Ninja Van memenuhi visi pengurusan logistik hujung-ke-hujung yang didayakan teknologi untuk perniagaan di Asia Tenggara bersama Google Cloud

Kerjasama yang dilanjutkan ini akan menyokong strategi Ninja Van untuk pengembangan yang selamat dan mampan, sambil memaksimumkan potensi bakat teknologinya

Singapura, 24 Februari, 2022 – Ninja Van, penyedia perkhidmatan logistik terkemuka di Asia Tenggara, melanjutkan kerjasama berbilang tahunnya bersama Google Cloud untuk membantu para perniagaan pelbagai saiz merebut peluang pertumbuhan digital dan mengatasi gangguan rantaian bekalan. Dengan menjalankan platform dan aplikasinya di infrastruktur sumber terbuka Google Cloud yang berskala dan selamat, Ninja Van berhasrat untuk mengukuhkan kepimpinannya dalam perkhidmatan kurier mil terakhir dan berkembang ke dalam penyelesaian pengurusan rantaian bekalan.

Disokong oleh rangkaian penghantaran bungkusan terbesar Eropah, Geopost / DPDGroup dan firma pelaburan global B Capital, Ninja Van mempunyai operasi di Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Filipina. Ia kini merupakan rakan kongsi penghantaran yang dipercayai untuk hampir dua juta perniagaan dan mengendalikan kira-kira dua juta bungkusan setiap hari di seluruh Asia Tenggara. Untuk memudahkan pengeluaran dan pengedaran ‘onshore’ dan ‘nearshore’ untuk perniagaan di rantau ini, Ninja Van baru-baru ini melancarkan Ninja Direct, sebuah ‘concierge’ perolehan yang menawarkan perkhidmatan seperti pencarian dan pengurusan pembekal, pelepasan kastam, pembiayaan, dan penjejakan penghantaran.


“Para peruncit telah beralih ke arah strategi e-dagang berbanding dengan menjual melalui kedai fizikal, terutamanya disebabkan pandemik yang memaksa para pengguna untuk membeli-belah dalam talian lebih dari sebelumnya. Dengan gangguan kepada aliran bahan mentah tradisional dan barangan siap, terdapat juga keperluan segera untuk rantaian bekalan mikro adaptif yang membolehkan perniagaan ‘membuat di mana mereka menjual’ dan memenuhi pesanan dengan lebih cepat,” kata Shaun Chong, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi, Ninja Van. “Kami memilih Google Cloud kerana keupayaannya yang terbukti untuk membantu kami skala dan berinovasi pada kelajuan tinggi, sambil kami menangani keperluan pengurusan logistik hujung-ke-hujung rantau ini.”

Membebaskan Bakat untuk Memacu Inovasi dan Impak

Ninja Van menilai secara konsisten sama ada ia memanfaatkan bakat teknikalnya. Ini bermakna menentukan bagaimana awanan dapat memperkasakan 150 jurutera, pemaju dan saintis data untuk membina produk yang menambah nilai kepada perniagaan, dan bukannya menghabiskan masa menguruskan infrastruktur IT yang kompleks.

Dengan pendekatan awanan terbuka Google, pasukan teknikal Ninja Van bebas memilih alat yang mereka perlukan untuk mempercepatkan pembangunan perisian dan skala dengan lebih cekap – sambil mengurangkan risiko teknologi. Sebagai contoh, dengan menggunakan platform pemprosesan data sumber terbuka Google Cloud – yang berintegrasi dengan alat visualisasi data yang disukai oleh saintis data tanpa masalah, pasukan Ninja Van dapat memproses terabyte demi terabyte data setiap hari dengan mudah untuk menyokong keperluan perniagaan syarikat.

Untuk mencipta chatbot NinjaChat dan mensimulasikan kualiti dan kemesraan interaksi bersemuka, pemaju Ninja Van beralih kepada ejen-ejen maya sumber terbuka Google Cloud yang siap dibina untuk menghidupkan ciri tersebut dalam masa sebulan, dan bukannya menghabiskan tiga bulan membina sebuah rangka kerja pembelajaran mesin dari awal.

“Dari chatbot yang meningkatkan pengalaman pelanggan ke algoritma untuk pengoptimuman laluan penjimatan bahan api – ini adalah antara ratusan ciri baru yang dikeluarkan oleh Ninja Van setiap hari. Dengan mengautomasikan penggunaan dan penaiktarafan aplikasi menggunakan Google Kubernetes Engine (GKE), pasukan teknikal kami boleh mengelakkan penglibatan dalam konfigurasi ‘backend’ manual dan menumpukan sepenuhnya kepada penginovasian,” kata Chong.

“Kami secara aktifnya mengambil bakat baru untuk mengukuhkan pasukan teknologi kami di rantau ini. Sebaik sahaja kami mempunyai bakat yang diperlukan, ia tidak masuk akal untuk mereka mencipta semula kod yang sudah wujud dan sedia untuk digunakan, atau memilih pelayan dengan VCPU atau RAM yang betul secara manual untuk menggunakan setiap aplikasi. Kami menghargai bagaimana Google Cloud mengutamakan sumber terbuka dalam penyelesaiannya, sementara GKE melakukan kerja yang hebat untuk memastikan perkara ini berlaku secara automatik. Ini membolehkan kami untuk mengelakkan ‘lock-in’, mengurangkan kos dan benar-benar memberi bakat kami keupayaan untuk membuat sumbangan yang lebih bermakna kepada perniagaan,” tambah Chong.

Keselamatan dan Sifar Waktu Henti untuk Membolehkan Operasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu


Menurut kajian oleh Google, Temasek, dan Bain & Company, nilai barangan kasar e-dagang Asia Tenggara dijangka meningkat dua kali ganda pada tahun 2021 untuk melebihi AS$ 120 bilion dan dijangka mencapai AS$ 234 bilion menjelang 2025. Oleh kerana Ninja Van terus membantu para peruncit bersaing dalam pasaran yang berkembang pesat ini dan mengembangkan perkhidmatannya, kebolehpercayaan dan perlindungan data terus menjadi keutamaan.

Permintaan untuk perkhidmatan Ninja Van telah berkembang sebanyak tiga kali semasa pandemik. Sama ada ia persediaan untuk acara jualan dalam talian yang besar seperti Singles’ Day, bertindak balas terhadap lonjakan secara tiba-tiba dalam permintaan kerana para peniaga menjalankan kempen ad hoc, atau membuat ribuan penaiktarafan perisian setiap tahun, keupayaan penskalaan automatik Google Cloud yang dinamik membolehkan laman web dan aplikasi mudah alih Ninja Van untuk mengendalikan 10 kali ganda jumlah trafik biasa dengan pengalaman pengguna yang lancar, sebelum menskala kembali ke keadaan sebelumnya untuk mengurangkan kos apabila sumber pengkomputeran tambahan tidak lagi diperlukan.

“Setelah mendapat manfaat daripada penyelesaian keselamatan yang direka bentuk secara lalai ke dalam infrastruktur Google Cloud, seperti penyulitan hujung-ke-hujung dan ‘patching’ automatik untuk menangani kelemahan seperti Apache Log4j 2, kami kini akan bekerjasama dengan pakar keselamatan Google Cloud untuk memikirkan cara tambahan untuk mengukuhkan model keselamatan ‘zero trust’ kami,” kata Chong.


“Teknologi merupakan asas operasi Ninja Van – 24 jam sehari, 7 hari seminggu – jadi sifar waktu henti adalah penting untuk mengelakkan kelewatan penghantaran atau ‘backlog’. Keselamatan juga sentiasa menjadi keutamaan, tetapi dengan lebih ramai yang mengenali jenama kami dan lebih ramai pihak ketiga yang berhubung bersama kami selepas berkembang, kami sedang berusaha untuk mengukuhkan cara kami melindungi data pelanggan kami. Sama ada ia memanjangkan waktu operasi atau memelihara kepercayaan pelanggan, pasukan di Google Cloud telah menjadi rakan kongsi yang rapat dalam menangani masalah-masalah kami. Hubungan berterusan kami akan menyaksikan Ninja Van menjalankan semua beban kerja kami di Google Cloud, dengan bantuan pasukan Google Cloud yang terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan fasa seterusnya,” tambah Chong.

“Kami berbangga untuk memainkan peranan dalam perjalanan Ninja Van untuk menjadi pembekal pengurusan logistik yang terkemuka dan juga salah satu daripada syarikat ‘unicorn’ teknologi yang paling dikagumi,” kata Ruma Balasubramanian, Pengarah Urusan, Asia Tenggara, Google Cloud. “Dengan melabur dalam bakat bertaraf dunia dan inovasi yang berterusan, syarikat tersebut berada dalam kedudukan yang baik untuk menyampaikan keupayaan pengeluaran dan pengedaran tepat pada masa yang diperlukan oleh para perniagaan untuk memenuhi keinginan para pengguna kontemporari untuk kepelbagaian produk dan kesegeraan. Google Cloud akan terus menegakkan piawaian kami yang tinggi dalam kebolehpercayaan, kerjasama, keterbukaan dan keselamatan, sepanjang kami menyokong visi Ninja Van untuk menghubungkan Asia Tenggara kepada potensi yang dibawa dunia perdagangan.”

###

Mengenai Google Cloud

Google Cloud memacu keupayaan organisasi untuk mengubah perniagaan mereka secara digital. Kami menawarkan penyelesaian gred perusahaan yang memanfaatkan teknologi canggih Google – semuanya di awanan terbersih dalam industri. Pelanggan di lebih daripada 200 negara dan wilayah beralih ke Google Cloud sebagai rakan kongsi mereka yang dipercayai untuk membolehkan pertumbuhan dan menyelesaikan masalah perniagaan mereka yang paling kritikal.

Mengenai Ninja Van 

Ninja Van adalah syarikat logistik ekspres disokong teknologi yang menyediakan penyelesaian rantaian bekalan untuk perniagaan pelbagai saiz di seluruh Asia Tenggara. Dilancarkan pada tahun 2014, Ninja Van memulakan operasi di Singapura sebagai syarikat logistik mil terakhir. Sejak itu, ia telah menjadi salah satu syarikat logistik teknologi yang paling pesat berkembang di rantau ini, menguasai perniagaan dengan penyelesaian inovatif yang mengoptimumkan peluang e-dagang. Hari ini, Ninja Van telah mengembangkan rangkaiannya untuk merangkumi enam negara: Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Filipina. Untuk maklumat lanjut, lawati www.ninjavan.co.

Hubungan Media

Nicholas Tan

Ketua Communications, Asia Tenggara, Google Cloud

Emel: nicholastan@google.com / press@google.com

Telefon: +65 9663 8358

Published on 24 Feb 2022
Tags: Grup

Artikel Terkait

Share This